Tanggal 21/11/2020 jam 2:30 petang adalah detik penuh debaran bagi saya sebagai seorang guru yang baru mula berjinak-jinak dalam dunia Youtuber. Amanat yang diberikan oleh Akademi Youtuber (AYU) harus dilaksanakan dengan baik. Tanggungjawab mendidik anak bangsa harus direalisasikan dengan teliti. Namun akibat kemudahan yang tidak begitu baik (capaian internet) untuk live tidak ada dan hanya menggunakan data telefon bimbit, saya terfikir asrama sekolah sahaja adalah tempat yang paling sesuai walaupun jaraknya memakan masa satu jam perjalanan dari rumah saya.
Setelah mendapat persetujuan dari warden asrama, saya dibenarkan untuk menggunakan internet asrama Malaysia. Seminggu sebelum live saya sudah menyediakan slaid untuk dipersembahkan kepada pelajar. Maka tibalah saat yang ditunggu-tunggu iaitu hari kejadian yang bersejarah buat saya. Jam 10.00 pagi saya sudah bertolak ke sekolah (SM Maktab Sabah, Kota Kinabalu). Semua peralatan sudah dimasukkan ke dalam kereta. Saya terpaksa bergerak awal kerana terpaksa menempuh sekatan jalan raya akibat PKPB (Papar - Kota Kinabalu). Sepanjang perjalanan saya berdoa agar dapat melepasi sekatan jalan raya. Dengan menggunakan surat perjalanan isteri bekerja, saya cuba memberanikan diri. Saya meletakkan surat berkenaan di hadapan cermin kereta. Apabila hampir tiba di kawasan sekatan polis, banyak kereta berbaris panjang untuk diperiksa. Satu demi satu diperiksa. Hati berdebar-debar dan berdoa agar dapat melepasi sekatan tersebut. Al-maklumlah hari itu hari Sabtu bukannya hari bekerja. Surat kerja isteri terpakai Isnin hingga Jumaat sahaja. Hati berdebar dan berdoa. Sampai giliran saya, polis tanya "Mahu ke mana?" Saya hanya menjawab, "Saya akan bersiaran di seluruh Malaysia secara online jam dua petang dibawah Kementerian Pendidikan Malaysia. Di rumah tidak ada line. Jadi saya terpaksa ke sekolah." Polis menjengah ke belakang kereta saya. Tergantung baju kemeja. Alhamdulillah akhirnya saya berjaya melepasi sekatan jalan raya.Lebih kurang jam 12.00 tengah hari saya tiba di asrama. Saya mencari warden asrama, namun tidak dijumpai.Saya cuba hubungi telefon bimbitnya tetapi tidak disambut panggilan itu. Saya semakin cemas. Namun akhirnya muncul juga warden itu. Rasanya masa itu sudah jam 1.00 petang. Saya ditempatkan di bilik warden dan dengan segera saya menyediakan semua peralatan sebelum memulakan live. Namun begitu, saya baru perasan yang kain hijau( Green screen) tertinggal di rumah. Hati makin bertambah cemas. Nak patah balik agak jauh. Akhirnya saya meminjam kain asrama. Hijau juga warnanya. Lega rasanya apabila saya dapat bersiaran. Namun masalah line juga dan laptop pula kerana suara tersekat-sekat sehingga ke akhir siaran, tapi saya redha dengan apa yang terjadi. Namun saya tidak pernah patah semangat. Sehingga kini apabila diamanahkan bertugas untuk team Panitia Seni Visual, saya akan ke sekolah menempuh 1 jam perjalanan untuk mendapatkan capaian internet yang lebih baik. Saya sudah memohon talian internet di rumah, tapi sehingga kini belum dipasang oleh yang berkenaan. Demi AYU, kawan-kawan seperjuangan (Panitia Seni Visual Sekolah Menengah) dan demi anak-anak bangsa yang tercinta, semua halangan itu saya cuba atasi.
Link kelas live: https://www.youtube.com/watch?v=VTvDbsMmQGg
Channel youtube : http://www.youtube.com/c/CIKGUMJ
Tags
featured