Alhamdulillah pada hari ini, Isnin 23 Januari 2023 kita telah berada dalam bulan Rejab 1444 Hijriyah. Dengan kehadiran bulan Rejab, maka kita semakin menghampiri bulan yang mulia Ramadah al-Mubarak.
Bulan Rejab adalah salah salah satu daripada bulan yang dimuliakan dalam Islam. Terdapat empat bulan haram dalam Islam iaitu Rejab, Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram.
Dikatakan bulan haram ialah kerana pada bulan-bulan ini Allah mengharamkan berlakunya peperangan dan pertumpahan darah kerana tradisi kaum Arab Jahiliyah yang suka berperang. Maka pada empat bulan ini, mereka memuliakannya dengan keamanan. Inilah di antara rahmat di bulan Rejab.
Dalam Surah al-Furqan : ayat 63 Allah SWT berfirman:
Maksudnya:
Sesungguhnya bilangan bulan menurut Allah ialah dua belas bulan (sebagaimana) dalam ketetapan Allah pada waktu Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan haram. Itulah (ketetapan) agama yang lurus, maka janganlah kamu menzalimi dirimu dalam (bulan yang empat) itu, dan perangilah kaum musyrikin semuanya sebagaimana mereka pun memerangi kamu semuanya. Dan ketahuilah bahawa Allah beserta otrnag-orang yang bertaqwa.
Dalam bahasa Arab, perkataan haram (حرام) bukan sahaja bermaksud "dilarang" namun ia juga memberi makna yang "dimuliakan". Seperti mana Mekah disebut sebagai tanah haram. Juga penggunaan istilah Masjidil Haram dan Baitullah al-haram.
Walaupun di dalam bulan Rejab tidak dikhususkan amalan-amalan yang khas, namun umat Islam diseru agar memperbanyakkan amalan kerana ganjarannya yang berlipat kali ganda di samping ia adalah satu usaha untuk kita mendekatkan diri dan hati kepada Allah SWT.
Marilah sama-sama kita memperbanyakkan amal ibadah di bulan Rejab bagi mendekatkan diri kepada Allah di samping persediaan untuk menemui Ramadan al-Mubarak seperti:
1. Berdoa.
Doa awal Rejab:
اللهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِيْ رَجَبٍ وَشَعْبَانَ وَبَلِّّغْنَا رَمَضَانَ
Maksudnya : Ya Allah berkatilah kami pada bulan Rejab dan Syaaban
dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadan.
2. Berpuasa sunat.
Tiada hari dan tarikh khas. Berpuasalah pada mana-mana hari di sepanjang bulan Rejab.
Lafaz niat :
نَوَيْتُ صَوْمَ غَدٍ فِى شَهْرِ رَجَبِ سُنَّةً ِللهِ تَعَالَى
Maksunya : Sahaja aku berpuasa sunat esok hari dalam bulan Rejab kerana Allah Ta'ala.
3. Memperbanyakkan bersedekah
Bersedekahlah dengan kadar kemampuan yang ada. Tenaga, wang ringgit, harta benda, pertolongan dan senyuman..
Berbuat baiklah kepada rakan, jiran tetangga, kaum keluarga dan saudara mara.
4. Mengamalkan solat-solat sunat
Dimulakan dengan melazimi solat sunat qabliah dan ba'diah (sebelum dan selepas solat fardu), solat sunat dhuha, solat witir dan ditambah dengan solat hajat dan taubat serta yang lain-lain. Beramallah secara istiqamah walau pun sedikit. Insya Allah akan terasa kemanisannya.
5. Membaca al-Quran
Membaca al-Quran boleh dimulakan dengan membiasakannya selepas solat fardu. Bacalah walau satu muka surat. Atau separuh muka surat. Hari demi hari, tambahkan sedikit demi sedikit sehingga menjadi rutin. Di bulan Ramadan pula nanti, mungkin boleh diamalkan 1 hari 1 juzuk.
6. Berselawat
Jadikanlah berselawat ke atas nabi Muhammad SAW sebagai rutin harian. Sekiranya anda berselawat 10 kali selepas tiap kali solat fardu, anda telah berselawat sebanyak 50 kali dalam satu hari.
5. Berzikir
Berzikir adalah satu ibadah yang paling mudah boleh dilakukan di mana jua sama ada berwuduk atau tidak, sama ada sedang haid atau pun suci. Contoh zikir yang umum seperti sebutan kalimah alhamdulillah, subhanallah, Allahu akbar dan astaghfirullahal'azim
Terdapat juga pelbagai jenis zikir yang disarankan untuk diamalkan di bulan Rejab seperti istighfar Rejab dsb.
Info berkaitan kelebihan istighfar Rejab:
Puasa qada'
Bagi yang masih belum selesai puasa qada' (puasa ganti), bolehlah mengambil kesempatan ini untuk menyelesaikannya. Jangan tunggu sehingga saat genting pada 29 Syaaban nanti!
Lafaz niat puasa qada':
نَوَيْتُ صَوْمَ غَدٍ عَنْ قَضَاءِ فَرْضِ رَمَضَانَ لِلَّه تَعَالَى
Nawaitu shouma ghadin 'an qada'i fardu Ramadan lillahi Ta'ala
Maksudnya :
Sahaja aku berpuasa esok hari bagi qada' (menggantikan) fardu puasa bulan
Ramadan kerana Allah Ta'ala
Penutup:
Marilah sama-sama kita beramal sedaya upaya yang mungkin. Jadikan bulan Rejab sebagai titik tolak untuk kita membuat perubahan ke arah menuju rahmat dan meraih kasih sayang Allah SWT. Sesungguhnya kasih sayang Allah tiada tandingannya...
Sumber :
https://www.ustazahazizah.com/2023/01/rejab-bulan-rahmat-salam-1-rejab-1444h.html