Ya Allah, ya Tuhan kami, Kami memohon keampunan-Mu, kami memohon kerahmatan-Mu, kami memohon taufik dan hidayah-Mu ya Allah.
Ya Allah, ya Tuhan kami, ampunkanlah dosa kami, dosa kedua ibu bapa kami, dosa anak-anak kami, dosa saudara mara kami, dosa ahli keluarga kami, dosa guru-guru kami dan dosa semua kaum muslimin dan muslimat.
Ya Allah, ya Tuhan kami, permudahkanlah urusan kami di dunia dan urusan kami di akhirat. Jadikanlah kami manusia yang sentiasa bersyukur kepada-Mu. Jadikanlah kami manusia yang sentiasa mencintai-Mu ya Allah. Ya Allah, jadikanlah apa yang kami lakukan ini sebagai suatu amal ibadah yang diterima-Mu.
Ya Allah, ya Tuhan kami, Ikhlaskanlah hati anak-anak kami untuk mempelajari ilmu-Mu. Tetapkanlah niat dihati mereka agar apa yang mereka lakukan ini semata-mata kerana-Mu ya Allah. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu, permudahkanlah mereka faham apa yang diajar oleh guru-guru mereka ketika mereka berada di dalam kelas. Lapangkanlah dada mereka untuk menerima ilmu-Mu ya Allah.
Ya Allah, tidak lama lagi, anak-anak kami akan menduduki peperiksaan ya Allah. Kami memohon kepada-Mu ya Allah, bantulah anak-anak kami dalam peperiksaan yang akan mereka hadapi nanti ya Allah.
Ya Allah, peliharalah kesihatan anak-anak kami dihari peperiksaan nanti. Permudahkanlah mereka menjawab soalan ketika peperiksaan nanti. Berikanlah ketenangan kepada mereka ketika menjawab soalan, jauhilah mereka daripada perasaan resah dan gelisah ketika menjawab soalan peperiksaan. Dorongkanlah hati mereka untuk menjawab setiap soalan sepertimana skema jawapan.
Ya Allah, berikanlah keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan anak-anak kami. Mudah-mudahan dengan keputusan yang cemerlang, mereka dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi lagi, semoga ia menjadi pembuka jalan untuk mereka menjadi hamba-Mu yang soleh dan menghampirkan diri mereka kepada-Mu.
Jadikanlah anak-anak kami pelajar yang cemerlang ya Allah, cemerlang di dunia dan cemerlang di akhirat. Kami mohon kepada- Mu, perbaikilah akhlak anak-anak kami. Jadikanlah mereka pelajar yang cemerlang dan mempunyai sahsiah diri yang baik. Tanamlah sifat mahmudah dalam diri mereka dan buanglah sifat mazmumah dalam diri mereka.
Ya Allah, jadikanlah anak-anak kami seorang pemimpin di kalangan orang yang bertakwa.Ya Allah, apa yang kami doakan ini bukan untuk diri anak-anak kami sahaja, tetapi apa yang kami doakan ini juga untuk anak-anak sahabat kami ya Allah. Berikanlah mereka kejayaan yang cemerlang di dunia dan di akhirat.
Ya Allah, sesungguhnya, anak kami inilah harapan kami. Kami mahu mereka berjaya ya Allah. Kami mahu mereka mengubah nasib keluarga kami ya Allah. Berikanlah taufik dan hidayah-Mu yang berkekalan ya Allah.
Ya Allah, jadikanlah anak kami anak yang soleh ya Allah. Anak yang menjadi penyejuk mata apabila kami memandangnya ya Allah. Jadikanlah anak kami ahli syurga ya Allah. Dorongkanlah hati mereka untuk melakukan amalan-amalan yang membawa mereka ke syurga-Mu ya Allah. Jauhkanlah hati mereka daripada melakukan amalan-amalan yang membawa mereka ke neraka-Mu ya Allah. Tetapkanlah hati mereka untuk menunaikan solat. Janganlah Engkau melalaikan mereka dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah ya Allah.
Ya Allah, kami tidak mampu untuk mengawasi anak-anak kami setiap waktu ya Allah. Kami serahkan anak kami untuk berada dibawah penjagaan-Mu ketika mereka tidak bersama kami ya Allah. Gerakkanlah hati mereka untuk berada di tempat-tempat yang Engkau redhai. Dan jauhilah mereka daripada berada di tempat tempat yang Engkau murkai.
Ya Allah, perkenankanlah doa-doa kami ini.
Amin ya Rabbal Alamin.
Sumber : https://www.imazzmedia.com/2023/02/doa-untuk-anak-anak-pelajar-yang.html