📝 PUTRAJAYA, 11 April - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bersetuju memberikan cuti tambahan kepada semua guru dan murid pada 19 April ini.
Menurut Menterinya Fadhlina Sidek, ia bagi memudahkan urusan guru dan ibu bapa yang bertugas di negeri lain bagi membuat persiapan menyambut Aidilfitri.
"Berita gembira yang saya ingin umumkan bahawa dengan ini 19 April, KPM mengumumkan cuti khas untuk semua warga KPM."
"Kita ambil kira semua pandangan dan untuk kesejahteraan masing-masing khususnya guru-guru kita dan warga KPM untuk mengurus perjalanan pulang ke kampung." Beliau berkata demikian pada sidang media Forum Integriti dan Ikrar Bebas Rasuah KPM 2023 di Putrajaya.
Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) tahun 2022 akan dikeluarkan pada 18 April ini. Calon boleh memperoleh keputusan tersebut daripada sekolah masing-masing bermula pukul 10.00 pagi pada tarikh tersebut. Bagi calon persendirian, keputusan peperiksaan akan dihantar melalui pos atau calon boleh menghubungi jabatan pendidikan negeri tempat calon mendaftar. Terdahulu, seramai 4,634 orang calon telah menduduki peperiksaan STAM Tahun 2022 di 134 buah pusat peperiksaan di seluruh negara.
Sumber : https://www.cikgunas.com/2023/04/cuti-tambahan-19-april-rabu-bagi-semua.html